Friday, 15 July 2011

AKU YAKIN ALLAH TIDAK AKAN MENSIA-SIAKANKU

Kadangkala dalam hidup kita tidak pernah sedar, Tuhan sudah melengkapkan hidup kita dengan benda-benda yang kita perlukan untuk jalani hidup dengan sempurna. Sebab Dia akan sentiasa berikan yang terbaik buat kita.

Sempurna vs Terbaik?
Sempurna itu saya lihat dari sisi, dari gambaran cukup atau tidak dalam sesuatu benda asas dalam hidup yang menjadi suatu keperluan, bukan dalam konteks kita dapat segalanya yang kita minta.

Terbaik? Benda yang kita perolehi itu pastinya sesuatu yang Allah sudah rancang untuk kita, dan Dia tahu itu ada adalah sebaik-baik perkara yang bersesuaian dengan fitrah diri kita. Bukankah Allah itu sebaik-baik perancang? Seperti mana tidak pernah ada istilah kebetulan ataupun istilah bernasib baik dalam hidup. Segala sudah diatur rapi, hanya menunggu masa untuk 'dilepaskan' dari Loh Mahfuz dan mencorakkan hidup kita.

Hidup tetap ada pasang surutnya. Tetap ada kegembiraan walapun terselit duka. Allah juga telah berjanji, selepas kesusahan pasti kesenangan berpanjangan akan datang menghampiri. Untuk mengharungi, caranya juga Allah telah jelaskan. Solat dan sifat sabar itu penawarnya.

Syukur tingkatannya lebih tinggi dari tingkatan sabar. Berapa ramai manusia boleh bersabar? Tidak ramai. Apatah lagi yang mampu mengucap syukur, malah bilangan lebih sedikit. Apa erti syukur yang sebenarnya? Apabila kita redha dengan segala ujian yang datang menyinggah, itu adalah suatu bentuk kasih dan tarbiyyah Dia buat kita. Redha? Bila hati ini belajar mengucapkan syukur. Lebih cantik apabila diadun dengan tawakal dan kebergantungan sepenuhnya terhadap rahmat Allah yang tidak pernah surut datang menyirami kita setiap masa.

Rezeki Allah itu bertebaran di muka buminya yang luas, selagi ada rezeki buat kita maka usah gusar. Mengapa harus dikisahkan, dirisaukan tentang perkara yang belum pasti berlaku? Benar hidup itu suatu percaturan, tiada siapa yang mengetahui masa depan apa yang bakal berlaku.

Namun bersedia dengan kejutan dalam hidup yang sudah ditentukan dan tetap istiqamah berusaha mencari redhaNya, suatu ketetapan yang perlu dilakukan sentiasa. Itu sahaja cara mengajar hati agar redha. Jangan pernah berhenti yakin dengan adanya rahmat Allah, tetap sentiasa akan ada laluan buat kita seandainya laluan target kita sudah beralih simpangnya, kerana Allah sudah membina 'jalan yang lain'.

Terus usaha mencari redhaNya. kerana Allah melihat kepada hasil. balasan yang setimpal itu imbalannya. sama ada dalam bentuk yang sama seperti apa yang kita usahakan, mungkin juga balasan itu dalam bentuk lain yang tidak pernah kita sangka-sangka. yakinlah bahawa hidup ini diciptakan dengan indah, dan ujian itu penyerinya.  

Ujian itu wasilah kita mencapai apa yang sepatutnya yang terbaik dalam hidup kita. Ujian itu perlu sebelum melayakkan diri kita menerima imbalan yang pastinya tetap membuatkan hidup kita tenang dan dalam keredhaanNya.

Cukuplah Allah sebagai pelindungku.
Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bersabar. Usah bersedih.


- Artikel iluvislam.com -

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails